PARA PENYELIDIK BENTANG PEMBANGUNAN PEKAN SUNGAI BESI

Satu sesi pembentangan hasil projek Studio Semester 2 melibatkan tiga buah kumpulan yang mewakili para penuntut Sarjana Sains Rekabentuk Bandar Lestari, UTM Sekolah Razak Bagi Kejuruteraan dan Teknologi Termaju bertempat di DBKL.  

Rombongan penuntut ini turut diiringi bersama lima pensyarah dari Panel Alam Bina, UTM Sekolah Razak yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Shuhana Shamsuddin selaku Koordinator Program, Prof. Dr. Ahmad Bashri Haji Sulaiman, Dr. Mohamad Hussaini Wahab, Dr. Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani dan En. Khairul Hisyam Kamarudin.  

 

Pelaksanaan projek Studio Semester 2 adalah satu projek kolaborasi antara UTM Sekolah Razak dengan beberapa Jabatan di dalam DBKL termasuklah Jabatan Perancangan Fizikal, Jabatan Perlaksanaan Projek dan Jabatan Bangunan dan Rekabentuk. 

Projek yang dibentangkan oleh para penuntut adalah berkaitan Pelan Pemulihan Semula Pekan Sungai Besi, yang juga selari dengan projek sebenar (real-live project) oleh pihak DBKL yang telah melantik syarikat perunding bagi merangka pelan induk Pemulihan Semula Pekan Sungai Besi.  

Sesi pembentangan turut disusuli oleh sesi sumbang saran dan perbincangan di antara kedua belah pihak dengan penekanan utama adalah untuk melihat dan menilai prospek dan juga kebolehlaksanaan idea dan juga cadangan yang diutarakan oleh setiap kumpulan penuntut.  

Pada sesi tersebut, Datuk Bandar telah menzahirkan penghargaan beliau terhadap usaha yang telah diambil oleh UTM dan para penuntut malah beliau juga turut menyatakan komitmen DBKL untuk mengambilkira cadangan yang diutarakan oleh kumpulan penuntut bagi memantapkan lagi penyediaan cadangan pelan induk pembangunan Pekan Sungai Besi yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Source: http://news.kl.utm.my/buletin/index.php?option=com_content&view=article&id=1904:para-penyelidik-bentang-pembangunan-pekan-sungai-besi&catid=52:aktiviti-universiti&Itemid=148Image